Bulletin

Agihan Dana Tabarru' Dalam Takaful Diharuskan

User Rating:  / 1
PoorBest 

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan bahawa pengagihan lebihan dana tabarru dalam skim takaful dan penggunaan konsep wakalah dalam instrumen deposit adalah harus di sisi Syariah.

 

Bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) BNM.

BNM berkata, MPS membenarkan lebihan akaun tabarru’ bagi pelan takaful keluarga dan pelan takaful am untuk diagihkan kepada peserta serta pengendali takaful adalah berasaskan kontrak takaful itu sendiri.

‘‘Secara umumnya, kontrak takaful secara umumnya terbina atas dasar tabarru’ iaitu sumbangan dan ta’awun iaitu bantu membantu.

‘‘Prinsip tabarru’ merupakan prinsip utama yang mendasari produk takaful, manakala prinsip lain seperti wakalah dan mudharabah digunakan dalam menyokong perlaksanaan operasi takaful,’’ kata BNM.

Menurut kenyataan itu, keputusan MPS membenarkan pengagihan tersebut dibuat adalah atas dasar upah prestasi bagi pengendali takaful.

Jelas BNM, secara umumnya, cara pengagihan seumpama itu turut diamalkan di kalangan pengendali takaful di Timur Tengah.

Selain itu, tambah kenyataan itu, MPS juga mengumumkan akaun deposit berasaskan kontrak wakalah bi al-istithmar iaitu perwakilan bagi tujuan pelaburan adalah diharuskan.

Namun begitu, katanya, perlaksanaan kontrak tersebut hendaklah dilakukan secara berhati-hati agar ia bebas daripada elemen jaminan oleh wakil terhadap pulangan pelaburan.

Kata BNM, wakalah bi al-istithmar merupakan kontrak Syariah yang baru diluluskan oleh BNM untuk digunakan dalam instrumen deposit dan ia diharap dapat menambah bilangan produk institusi kewangan Islam yang kreatif dan berinovasi.