Balu tentera terkejut terima bantuan RM60,000

User Rating:  / 1
PoorBest 
KUALA LIPIS 4 Jun – Seorang balu tentera, Siti Aishah Hamid, 40, berasa terkejut dan tidak menyangka kehadiran dua pegawai syarikat Takaful Ikhlas Sdn Bhd dari Kuala Lumpur muncul di rumahnya untuk menyampaikan dana bantuan berjumlah RM60,000 di Kampung Beletik, dekat sini hari ini.

Ibu kepada lima orang anak berusia antara 3 hingga 16 tahun menerima sumbangan itu daripada Pengurus Agensi Takaful Ikhlas, Mursal Mat Jadi di rumah bapa mertua ibu tunggal itu di kampong tersebut.

Mursal memberitahu Utusan Malaysia, ibu tunggal itu menerima dana insuran itu bagi pihak suaminya, Allahyarham Nazri Omar yang menyertai polisi Pelan Ikhlas Simpanan Takaful pada 17 Februari tahun ini menerusi caruman sebanyak RM450.

Katanya, syarikat itu meluluskan bantuan dana tersebut kepada Allahyarham Nazri Omar sebanyak RM112,640.56, tetapi jumlah RM60,000 diserahkan dulu kepada balu berkenaan berasaskan Akta Takaful 1984.

“Syarikat ini akan menyerahkan baki bantuan RM52,640 tidak lama lagi selepas balu allahyarham selesai urusan pengagihan harta yang diperakui oleh pihak berkuasa,” selepas menyerahkan cek bernilai RM60,000 kepada Siti Aishah dekat sini hari ini.

Hadir sama pada penyerahan itu ialah Penolong Pengurus Unit Takaful Ikhlas, Shamsul Azhar Ahmad.

Allahyarham Nazri yang menyertai polisi Takaful Ikhlas terlibat dengan kemalangan jalan raya berdekatan Kampung Sungai Sam di Lebuh Raya Kuala Krai ke Gua Musang pada 28 April lalu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lipis.

Sementara itu, Siti Aishah berkata, dia tidak tahu arwah suaminya menyertai polisi tersebut sehinggalah diberitahu oleh Penolong Pengurus Unit syarikat tersebut, Shamsul Azhar Ahmad hari ini.

“Saya bersyukur kepada Allah dan Insya-Allah akan menggunakan bantuan ini untuk kebajikan lima orang anak terutamanya membiayai persekolahan sehingga ke peringkat tinggi,” ujarnya.