IAM, Takaful IKHLAS Adakan Program Kerjasama "Jejak Pembaikan Madrasah"

User Rating:  / 3
PoorBest 

KOTA KINABALU, 26 April (Bernama) -- Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Takaful Ikhlas Sdn Bhd hari ini mengadakan program 'Jejak Prihatin dan Pembaikan Madrasah' di Madrasatul Hikmah, Likas, di sini membantu masyarakat setempat yang memerlukan bantuan.

Dalam kenyataan bersama di sini, IAM berkata program itu merupakan salah satu daripada projek kemanusiaan (CSR) peringkat tempatan di bawah program `Komuniti Setempat'.

IAM telah menggunakan konsep ziarah melalui program itu bagi melihat dan merasai sendiri kesusahan serta penderitaan yang dihadapi masyarakat.

"Program ini menyediakan platform kepada masyarakat Malaysia yang prihatin terutama pihak korporat dan golongan individu untuk menghulurkan sumbangan," kata kenyataan itu.

Majlis hari ini disempurnakan oleh Naib Presiden Eksekutif dan Operasi Perniagaan Takaful IKHLAS, Wan Mohd Fadzullah Wan Abdullah. Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden IAM, Zawahir Abdullah.

Takaful Ikhlas adalah rakan kemanusiaan yang menyediakan pembiayaan baik pulih madrasah berkenaan.

Aktiviti penyelenggaraan dan pemulihan merangkumi pembaikan pada struktur bangunan, bumbung, dinding, bilik air dan bahagian yang rosak.

Turut diserahkan pada majlis itu sumbangan berbentuk beg sekolah dan bahan bacaan kepada 80 orang pelajar kurang berkemampuan yang memperoleh pencapaian akademik cemerlang dan berpotensi.

Zawahir berkata pihaknya berterima kasih kepada Takaful IKHLAS yang memberi kepercayaan kepada IAM dan prihatin terhadap usaha kemanusian yang dijalankan.

Beliau menyeru lebih banyak lagi syarikat korporat mencontohi usaha yang dilakukan oleh Takaful Ikhlas itu.

-- BERNAMA