Takaful Ikhlas Anjur Seminar Persedian Hadapi UPSR, PMR Dan SPM

User Rating:  / 1
PoorBest 
KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Seramai 300 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini telah menyertai seminar yang dianjurkan syarikat pengendali Takaful negara, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful IKHLAS) baru-baru ini.
Seminar yang dianjurkan selama sehari itu diadakan di Ibu Pejabat Takaful IKHLAS di Bangsar, Kuala Lumpur, sebagai salah satu daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat itu di bawah nama 'IKHLAS untuk Komuniti'.
Pelajar-pelajar yang dipilih terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan daripada sekolah-sekolah sekitar Lembah Klang, dan juga pelajar-pelajar asnaf di bawah seliaan Lembaga Zakat Selangor.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, "Seminar yang diadakan ini memberi penekanan terhadap teknik menjawab kertas peperiksaan Fizik, Sains, dan Matematik dengan berkesan.
Subjek-subjek tersebut merupakan subjek kritikal yang memerlukan tumpuan khusus kerana sering dianggap sukar. Namun begitu, sekiranya para pelajar berjaya menguasai teknik yang betul dan berkesan, ia sebaliknya subjek-subjek yang mudah dan seronok dipelajari".
"Program sebegini diadakan setiap tahun oleh Takaful IKHLAS kerana menyedari hakikat bahawa membina generasi yang cemerlang demi pembangunan dan kejayaan anak-anak bangsa adalah tanggungjawab semua. Ia tidak harus dibebankan kepada pihak kerajaan semata-mata, sebaliknya syarikat swasta seperti kami turut mempunyai peranan yang sama" kata beliau lagi.
Dalam pada itu, tenaga-tenaga pengajar yang dipilih mengendalikan seminar tersebut terdiri daripada mereka yang berpengalaman sebagai pemeriksa kertas jawapan dan tahu tentang kehendak skema pemarkahan.
Takaful IKHLAS tidak menolak kemungkinan untuk mengulangi penganjuran seminar ini menjelang peperiksaan pada hujung tahun nanti sebagai pecutan terakhir mengulang kaji soalan ramalan kepada kumpulan yang sama.
Rata-rata pelajar yang ditemui menzahirkan rasa gembira kerana telah mengetahui teknik menjawab peperiksaan dengan betul walaupun debaran menghampiri peperiksaan penting itu kian terasa.
Pada majlis yang sama, Naib Presiden Kanan, Jabatan Perkhidmatan Korporat Takaful IKHLAS, Yushida Husin turut hadir memberikan ucapan semangat kepada semua pelajar.
--BERNAMA