Takaful IKHLAS Sampaikan Sumbangan Kepada Keluarga Jurukamera Bernama TV

User Rating:  / 2
PoorBest 

Dari Kiri: Haji Nor Hashim dari Harmony Excellence Travel & Tours Sdn. Bhd., Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman dan Bapa Allahyarham Noramfaizul, Mohd Nor Mat Yassin. Foto: Ikhsan Takaful Ikhlas

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Takaful IKHLAS Sdn Bhd menyampaikan sumbangan berbentuk cek bernilai RM74,622 kepada keluarga jurukamera Bernama TV, Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor di Serdang Raya, Seri Kembangan di sini hari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, sumbangan ini bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan keluarga Allahyarham Noramfaizul.
"Ini merupakan satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan kami berharap melalui sumbangan ini dapat meringankan beban waris Allahyarham.
Takaful turut memberikan sumbangan berbentuk Upah Haji untuk Allahyarham yang akan dilaksanakan pada musim haji tahun hadapan," katanya selepas majlis pemberian cek sekaligus kenduri tahlil yang diadakan di rumah keluarga Allahyarham Noramfaizul tengahari tadi.
Allahyarham Noramfaizul terkorban akibat terkena tembakan curi ketika berada di Mogadishu bagi membuat liputan misi kemanusiaan yang dianjurkan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa kebuluran di Somalia ketika itu.
Selain itu, seramai 12 orang wakil Takaful IKHLAS turut menghadiri majlis penyampaian cek tersebut.
-- BERNAMA