Bulletin

Syed Moheeb Dipilih CEO Terbaik

User Rating:  / 1
PoorBest 

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas), Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman telah dianugerahkan Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik The BrandLaureate baru-baru ini.

Anugerah itu telah diberikan oleh Yayasan Penjenamaan Asia Pasifik (APBF) yang disampaikan pada majlis SMEs Chapter Awards 2011.

Syed Moheeb berkata, beliau berasa amat bersyukur dan berterima kasih di atas penganugerahan ini.

''Secara peribadi, saya amat berbesar hati apabila diberikan penganugerahan setinggi ini.

''Anugerah yang diterima pada malam ini adalah hasil daripada sokongan semua pihak,'' katanya.

Pada majlis yang sama, Takaful Ikhlas turut mengungguli dua anugerah lain.

Dua anugerah yang dimenangi adalah penjenamaan terbaik yang juga merupakan salah satu daripada anugerah utama dan Takaful Ikhlas juga membawa pulang anugerah Penjenamaan Produk - Jenama Terbaik.

Syed Moheeb menambah, ketiga-tiga anugerah yang diterima merupakan pemangkin dan pembakar semangat untuk Takaful Ikhlas melipat gandakan usaha dalam melonjakkan pencapaian syarikat.

Katanya, ia sejajar dengan komitmen Takaful Ikhlas untuk menjadi penyedia perkhidmatan perlindungan kewangan pilihan berasaskan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam.

''Kami juga yakin dan percaya bahawa penjenamaan syarikat yang unggul, diukur menerusi pencapaian syarikat yang memberangsangkan dan perkhidmatan yang cemerlang,'' ujarnya.

Takaful Ikhlas mula beroperasi pada Julai 2003 merupakan anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd., sebuah Syarikat pemegangan pelaburan yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia.