Bulletin

Takaful Ikhlas yakin sasar penguasaan pasaran 20 peratus

User Rating:  / 1
PoorBest 

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) yakin dapat meningkatkan penguasaan pasaran kepada 20 peratus dalam tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2009 apabila berjaya mendapat pengiktirafan dalam sistem pengurusan kualiti.

Takaful Ikhlas kini menguasai 12 peratus pasaran tempatan yang mempunyai lapan pengendali takaful.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, pengiktirafan melalui Sijil MS1900; 2005 yang diterima pada 15 Ogos lalu, penting bagi meningkatkan keyakinan para pelanggannya.

Beliau memberitahu, para pelanggan kini semakin peka terhadap perkhidmatan yang cemerlang dan mempunyai piawaian yang tinggi.

"Sekarang, kami mencapai 12 peratus penguasaan pasaran dan berharap dapat menghampiri 20 peratus pada tahun kewangan berakhir tahun ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Takaful Ikhlas di sini hari ini. Turut hadir pada majlis ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Hamad Kama Piah dan Pengarah Urusan Sirim QAS, Datuk Mariani Mohammad.

Takaful Ikhlas yang memulakan operasinya pada 14 Oktober 2003, menawarkan 78 produk takaful.

Kini, syarikat itu berada pada kedudukan ketiga dalam segmen takaful.

Ditanya mengenai anugerah MS1900: 2005 yang baru diterimanya, beliau berkata, Takaful Ikhlas merupakan syarikat takaful pertama yang menerima anugerah berkenaan daripada Sirim QAS.

Menurutnya, pencapaian itu diperoleh melalui prestasi cemerlang syarikat dalam pengurusan takaful berkelompok.

"Kami mengamalkan sistem pematuhan syariah yang terbaik dan ia berjaya menarik perhatian pelanggan dan masyarakat luar,'' ujarnya.

Syed Moheeb turut memberitahu bahawa pelan takaful keluarga merupakan pelan yang memberi sumbangan terbesar kepada pendapatan syarikat.

Beliau berkata, ini berikutan wujudnya kesedaran orang ramai terhadap penyimpanan wang untuk masa depan keluarga.

"Kami dapati berlakunya peningkatan terhadap kesedaran orang ramai untuk menyimpan wang kepada keluarga,'' katanya.