Bulletin

Takaful IKHLAS menang anugerah produk terbaik

User Rating:  / 1
PoorBest 

{mosimage}

KUALA LUMPUR 19 Julai – Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) telah memenangi Anugerah Produk Takaful Terbaik pada Anugerah Takaful Antarabangsa 2010 yang diadakan sempena Persidangan Takaful Antarabangsa Keempat 2010 di Jumeirah Carlton Tower, London.

Anugerah itu diraih melalui produk Ikhlas Medic Assist Takaful (IMAT), iaitu pelan perubatan yang unik.

Produk itu direka bagi memudahkan orang ramai mendapatkan rawatan di hospital dan pada masa yang sama mempercepatkan tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit dan pembedahan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, anugerah yang diterima itu membuktikan komitmen syarikat sebagai penyedia utama bagi perkhidmatan perlindungan kewangan yang menawarkan pelbagai produk perlindungan berasaskan prinsip dan nilai Islam.

“IMAT merupakan pelan perlindungan takaful yang menawarkan sumbangan terendah di dalam industri insurans dan takaful dengan pembaharuan untuk kos rawatan hospital dan kos pembedahan.

‘‘Daripada hanya 80 sen sehari, peserta boleh memperoleh pelan takaful perubatan yang berpatutan dan komprehensif serta ia memberikan lebih banyak faedah dan had perlindungan yang lebih tinggi.

‘‘IMAT juga membolehkan golongan-golongan yang berpendapatan rendah memilikinya,’’ kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Tambah beliau, anugerah yang diterima itu meletakkan IMAT di posisi kemuncak walaupun baru berusia tiga tahun di pasaran.

Pada awal enam bulan selepas pelancaran produk IMAT iaitu pada tahun 2007, Takaful Ikhlas telah mengeluarkan 1,413 sijil kepada peserta dan kini syarikat telah pun mengeluarkan sebanyak 16,000 sijil, menurut Syed Moheeb.