Sejahtera Risk Consulting- Agency Takaful Ikhlas

User Rating:  / 2
PoorBest 

   

Perlukah kita menyertai Perlindungan Kewangan Takaful Ikhlas?

Secara amnya perlindungan Takaful adalah skim perlindungan kewangan secara Islam iaitu merupakan satu kaedah persiapan atau ikhtiar/usaha untuk menghadapi atau melindungi sebarang ketidakpastian yang mungkin berlaku keatas diri sendiri, ahli keluarga atau harta benda daripada sebarang musibah atau malapetaka di masa-masa akan datang. Selagi umat manusia terdedah terhadap ketidakpastian dan risiko selagi itulah perlindungan kewangan Takaful itu amat diperlukan sebagai satu ikhtiar/usaha terlebih dahulu sebelum seseorang itu terus bertawakkal kepada Allah s.w.t. semata-mata.

Persiapan untuk mengharungi sebarang ketidakpastian atau ujian-ujian dari Allah s.w.t. itu, contohnya seperti kematian, hilang-upaya kekal, penyakit kritikal, kemalangan dan sebagainya, bukanlah satu usaha yang ingin melawan takdir Allah s.w.t. yang diperkatakan oleh segelintir ahli masyarakat. Ini merupakan satu pandangan yang dangkal dari orang-orang yang jahil tentang agama Islam.Dalil yang mewajibkan seseorang itu mesti berusaha terlebih dahulu sebelum bertawakkal kepada Allah semata-mata adalah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w. terhadap seorang arab badui yang meninggalkan untanya tanpa diikat tali terlebih dahulu dan lalu berserah kepada Allah s.w.t. semata-mata, yang bermaksud: "Ikatlah tali unta kamu dahulu dan kemudian barulah berserah kepada Allah s.w.t." (Riwayat: At-Turmuzi)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tinggalkan anak dan isteri kamu dengan kesenangan adalah lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta”. (Riwayat: Bukhari)

Dalam satu hadis lain Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Setiap daripada kamu adalah pemikul tanggung-jawab dan setiap daripada kamu bertanggung-jawab terhadap mereka dibawah tanggungan kamu.”
(Riwayat: Bukhari dan Muslim)

 

KONSEP TAKAFUL

Takaful merupakan salah satu konsep insurans yang berasaskan Muamalat Islam yang berlandaskan hukum Syariah. Pada asasnya, sistem Takaful berteraskan konsep kerjasama, tanggungjawab, jaminan, perlindungan dan saling membantu di kalangan para pesertanya. Peserta-peserta yang bernasib baik akan membantu peserta-peserta yang ditimpa musibah atau ujian dari Allah s.w.t.

Asas falsafah ini adalah berpandukan kepada beberapa hadith Rasulullah s.a.w yang antaranya:

1. Dalil kerjasama
“Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selagi mereka saling membantu antara satu sama lain”. (Riwayat : Ahmad dan Abu Daud)

2. Dalil tanggungjawab
“Tidaklah kamu tergolong sebagai umatku selagi kamu tidak menyayangi sesama kamu”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Dalil saling melindungi
“Demi hayatku yang berada dalam kekuasaan Allah, tiada siapa akan masuk Syurga jika beliau tidak melindungi jirannya yang berada dalam kesusahan.” (Riwayat Ahmad)

KONTRAK TAKAFUL

Kontrak Takaful adalah terhindar atau bebas daripada sebarang unsur Riba (faedah), Maisir (perjudian) dan Gharar (tidak jelas). Takaful Ikhlas menggunakan kontrak berikut sebagai garis panduan perniagaan kami:

1 Kontrak Tabbaru’: dimana peserta bersetuju mendermakan sebahagian daripada sumbangan / simpanan mengikut peratusan yang telah ditentukan kepada satu dana yang dikhaskan untuk membantu peserta-peserta lain yang ditimpa kesusahan/ musibah.

2 Kontrak Al-Wakalah: dimana peserta membenarkan Takaful Ikhlas untuk menguruskan hal-ehwal dana bagi pihak beliau.

Model Takaful Ikhlas membolehkan penggunaan pihak ketiga sebagai pengantara untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan, membuat pembayaran lebihan dan keuntungan kepada peserta, jika ada dan membuat pengiraan keuntungan bersama secara bulanan.